Monday 26 March 2012

Dasar jamin bekalan air dilancar

Dasar Sumber Air Negara (DSAN) bagi tempoh 2010 hingga 2050 dalam menentukan hala tuju masa depan untuk sektor sumber air berdasarkan kajian semula sumber air negara dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Muhyiddin berkata, DSAN penting ke arah merintis proses memastikan bekalan air yang terjamin pada era pembangunan ekonomi negara, khususnya sektor pertanian dan perindustrian, pertumbuhan perbandaran dan pertambahan penduduk yang pesat.

Katanya, DSAN yang disedia berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara bagi 2010 hingga 2050, turut menetapkan prinsip asas sumber air negara yang menyentuh isu air untuk makanan dan pembangunan luar bandar dengan jelas.

“Prinsip itu menekankan mengenai perlunya sumber air yang mencukupi untuk jaminan bekalan makanan selain membantu menaik taraf pembangunan di kawasan luar bandar,” katanya berucap merasmikan dan melancarkan Sambutan Hari Air Sedunia 2012 peringkat kebangsaan bertemakan ‘Air dan Jaminan Makanan’ dan DSAN di Dataran Pinggiran Sungai Kerian, di sini, semalam.

Beliau diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang turut menyampaikan Anugerah Tesis Sumber Air dan Hidrologi kepada pemenang Dr Farah Aini Dahalan yang merangkul Anugerah Emas Doktor Falsafah Terbaik, Roslan Zairi Mostapa (Anugerah Emas Sarjana Terbaik) dan R Gillian Eve (Anugerah Emas Sarjana Muda Terbaik).

Muhyiddin yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, beliau berharap pelbagai langkah strategik untuk mengenal pasti dan menambah sumber air negara, termasuk sumber air bawah tanah yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber alternatif menampung permintaan air di negara ini.

“Laporan awal oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mendapati isi padu air tanah yang tersimpan di Malaysia dianggarkan berjumlah 5,000 bilion meter padu yang mempunyai nilai komersial sebanyak RM7.5 trilion.

“Sehubungan itu, saya berharap kajian serta pembangunan sistematik dan menyeluruh terhadap sumber air bawah tanah, selaras dengan kaedah pengurusan air bersepadu, dapat dipertingkatkan bagi membantu merealisasikan jaminan bekalan air seterusnya jaminan bekalan makanan di negara ini pada masa depan,” katanya.

Katanya, Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) melaporkan ketika ini hampir satu bilion penduduk dunia berdepan masalah kekurangan makanan dan nutrisi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sebahagian penduduk Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang tinggal berdekatan Sungai Kerian akan mendapat faedah besar selepas kerajaan meluluskan peruntukan RM490 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kerian yang kerja utamanya membabitkan pembinaan benteng sungai sepanjang 300 kilometer dan rumah pam.


sumber : n9kini

No comments: