Thursday 29 March 2012

Air Penting Untuk Jaminan Makanan


Tahukah anda setitis air yang menitik dari pili air boleh menyebabkan pembaziran kira-kira 20 gelen air sehari manakala menyahbeku makanan menggunakan air mengalir dari pili boleh membazirkan antara 50 dan 150 gelen air sebulan?.

Menyedari sumber air sangat penting dalam kehidupan manusia, negara terus komited untuk menyambut Hari Air Sedunia 2012 dengan pelbagai program dan kempen untuk meningkatkan kesedaran mengurus sumber air secara berkesan.

Tahun ini, sambutan Hari Air Sedunia kebangsaan disambut selama lima hari di Perak dengan tema ‘Air dan Jaminan Makanan’ untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya air dalam penghasilan makanan.

GABUNGAN KERJASAMA

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Ahmad Husaini Sulaiman berkata program itu adalah objektif utama Unesco-International Hydrological Programme (IHP) Malaysia untuk mempromosi dan mengkoordinasi program pendidikan, sainstifik dan pembangunan keupayaan di dalam hidrologi dan sumber air.

“Program ini dilaksanakan melalui komitmen kerjasama rakan Unesco-IHP Malaysia bagi membentuk integrasi antara 40 rakan Unesco-IHP Malaysia dalam pelbagai aspek pengurusan sumber air secara lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata program pembangunan keupayaan dan kesedaran adalah penting untuk mempromosi serta melaksanakan pengurusan sumber air bersepadu secara holistik dan berkesan.

Sementara itu Timbalan Pengarah JPS Perak Juhaimi Jusoh berkata sambutan anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Unesco-IHP Malaysia dan JPS ini berlangsung di pinggiran Sungai Kerian, Parit Buntar kira-kira 150 kilometer dari sini.

SAMBUTAN KEBANGSAAN

Juhaimi berkata banyak program dirancang sepanjang sambutan ini yang berlangsung sejak Selesa lepas sehingga ke kemuncak perasmian hari ini.

Acara sambutan termasuk pertandingan mewarna dan melukis, pertandingan memasak, Hari Terbuka loji rawatan air, kolokium peringkat kebangsaan serta Anugerah Tesis Terbaik Hidrologi.

Hari Terbuka Loji Rawatan Air memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat secara dekat cara pemprosesan air bersih di loji-loji terpilih seluruh negara mulai 24 hingga 31 Mac.

Aktiviti menyusuri sungai, membabitkan pelajar sekolah dalam pertandingan bot berhias, juga pertunjukan bunga api, pertandingan perahu panjang dan memancing, pertunjukan aksi komando air oleh Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia dan ‘Explorace Air dan Jaminan Makanan’ turut dianjurkan.

Sambutan Hari Air Sedunia bertujuan memperbaharui tekad melaksanakan Agenda 21 dalam Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED), yang merupakan agenda global untuk beralih kepada pembangunan mampan dalam abad ke-21.

Antara lain, agenda itu menekankan bahawa kawalan kualiti air dan sumber bekalan air bersih memerlukan tindakan bersepadu dalam pembangunan, pengurusan dan penggunaan air.

AGENDA SEDUNIA

Agenda air merupakan Pelan Tindakan Sedunia yang mengandungi matlamat, prinsip, komitmen dan strategi ke arah menguruskan air yang lestari.

Hari Air Sedunia 2012 yang dianjurkan Organisasi Air Bangsa-bangsa Bersatu (UN-Water) dengan kerjasama Program Penempatan Manusia Bangsa-bangsa Bersatu (UN-Habitat) dan Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu (UN-EP) serta mendapat sokongan Unesco ialah bagi memperkasa program ‘Dekad Air untuk Kehidupan 2005-2015′ yang bertujuan menggalakkan usaha mencapai komitmen antrabangsa dalam isu berkaitan air.

Sambutan tahun ini bermatlamat menarik perhatian antarabangsa terhadap jaminan keperluan air bagi menghasilkan makanan untuk penduduk dunia yang semakin meningkat.

Menurut laman web http://www.unwater.org, isu jaminan terhadap makanan wujud kerana semua orang pada sepanjang masa mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi untuk makanan yang mencukupi,selamat dan berzat untuk kehidupan sihat dan aktif.

“Setiap orang perlu minum dua hingga empat liter air sehari. Tetapi air yang diperlukan untuk menghasilkan makanan harian seseorang itu ialah 2,000 hingga 5,000 liter,” katanya.

Buat masa ini, lebih tujuh bilion penduduk di dunia memerlukan makanan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 9 bilion pada 2050.

“Untuk memastikan makanan mencukupi bagi semua orang, terlebih dahulu kita perlu mendapatkan jaminan air yang mencukupi dan berkualiti. Kita juga perlu mengeluarkan lebih banyak makanan yang menggunakan kurang air, mengurangkan pembaziran dan kerugian makanan serta beralih ke arah diet yang lestari,” menurut laman web itu,


sumber : kongsiberita

No comments: